Saturday, 14 April 2012

                                                                

BML 3113: SEJARAH BAHASA MELAYU

TUGASAN  1
KAJIAN SUKU BANGSA BANJAR DAN HUBUNGANNYA DENGAN RUMPUN BAHASA MELAYU

 





DISEDIAKAN OLEH
KUMPULAN : UPSI  18
NAMA
NO. ID
NO. TELEFON
ROSLINA BINTI DAN
D 20102043937
012-3995441


NAMA TUTOR E-LEARNING:         EN. ZULKIFLI   BIN  OSMAN

TARIKH SERAH:    15 APRIL 2012                             


ISI KANDUNGAN                                                                           HALAMAN
PENGENALAN                                                                                      1   
DEFINISI                                                                                                 1  
SEJARAH SUKU BANGSA BANJAR                                                2  -   6
i)              Banjar Pahuluan
ii)             Banjar Batang banyu
iii)            Banjar Kuala
LATAR BELAKANG                                                                             6  -  8
i)              Asal Usul Orang Banjar Datang ke Tanah Melayu 
CIRI-CIRI ORANG BANJAR                                                                          8  -  9
i)              Fahaman sukuan
ii)             Teguh Pegangan Agama dan Cara Hidup Sederhana
iii)            Berani dan Panas Baran
ORANG BANJAR KINI                                                                        10
CIRI-CIRI UNIK BUDAYA ORANG BANJAR                                    10  -  12
i)              Rumah dan Makanan
ii)             Teater
iii)            Muzik
iv)           Tradisi  Lisan
v)            Tarian
vi)           Senjata
BAHASA SUKU BANGSA BANJAR                                                               12   -  13
RUMPUN BAHASA MELAYU                                                             13   -  14
HUBUNGAN SUKU BANGSA BANJAR DENGAN                                       14  -   15
RUMPUN BAHASA MELAYU
RUMUSAN                                                                                                 16         
BIBLIOGRAFI                                                                                                    17  -  18
TUGASAN SEJARAH BAHASA MELAYU

ESEI ILMIAH

a) Buat satu kajian mengenai suku bangsa atau etnik anda dan hubungannya dengan rumpun bahasa Melayu.

PENGENALAN

Esei ilmiah ini adalah berkaitan dengan kajian suku bangsa atau etnik yang terdapat di Malaysia. Terdapat pelbagai suku bangsa atau  etnik yang bermigrasi dari Indonesia ke Tanah Melayu seperti Jawa, Banjar, Bugis, dan Boyan (Bawen) serta orang Sumatera, seperti Minangkabau, Aceh, Mandailing, Korinci, Palembang dan Jambi. Mengikut bancian penduduk pada tahun 1947,  bangsa teramai bermigrasi ke Semenanjung Malaysia adalah orang Jawa dan orang Banjar merupakan kedua teramai. Migrasi orang Jawa, bersama-sama dengan orang Boyan dan Madura masih berlaku akan tetapi migrasi orang Banjar tidak berlaku secara berterusan. Migrasi orang Banjar dari Kalimantan Selatan dalam era 1970-an terlalu kurang sekali hingga kini.    Pelbagai tujuan yang menyebabkan berlakunya migrasi secara besar-besaran antaranya peperangan dan merebut peluang ekonomi yang terbuka luas di Tanah Melayu. Sehingga kini proses migrasi masih berlaku melalui jalan yang sah dan haram. Saya akan mengkaji tentang suku bangsa Banjar yang terdapat di Malaysia dan hubungannya dengan rumpun bahasa Melayu.

DEFINISI

Suku bemaksud kelompok dalam masyarakat yang membentuk rumpun bangsa. Definisi bangsa pula bermaksud sekumpulan manusia yang terbentuk berasaskan ras atau etnik atau lain-lain. Mereka diikat dengan satu kerelaan untuk bekerjasama , bersatu bahasa, wilayah, budaya, sejarah atau mungkin juga agama. Etnik berasal dari bahasa Yunan iaitu  “ethnos”, ianya adalah hal-hal yang berkaitan  dengan kumpulan manusia yang mempunyai trait atau unsur-unsur ras, agama, bahasa dan lain-lain yang sepunya. Kumpulan manusia ini ditentukan dengan melalui pengelasan yang berasaskan ciri-ciri yang ada, iaitu seperti mempunyai asal usul leluhur yang sepunya, pewarisan genetik, kebudayaan, bahasa, agama, daerah, puak dan asal usul negaranya.
 Menurut Frederich  Barth (1988) istilah etnik menunjukkan pada suatu kelompok tertentu mempunyai kesamaan ras, agama, asal usul bangsa, ataupun kombinasi dari kategori tersebut terikat pada sistem nilai budayanya. Berdasarkan Kamus Besar Indonesia menjelas bahawa suku bangsa merupakan kesatuan sosial yang dapat dibezakan dari kesatuan sosial lain berdasarkan kesedaran akan identiti dan perbezaan kebudayaan khususnya bahasa.
Menurut Koentjaraningrat (1989) pula, suku bangsa merupakan kelompok sosial atau kesatuan hidup manusia yang mempunyai sistem interaksi, sistem norma yang mengatur interaksi tersebut. Adanya hubungan dan rasa identiti yang mempersatukan semua anggotanya serta memiliki sistem kepimpinan sendiri.

SUKU BANGSA BANJAR

Sejarah

Menurut mitologi Dayak Meratus (Dayak Bukit), bahawa Suku Banjar (terutama Banjar Pahuluan) dan Suku Bukit adalah berasal daripada dua bersaudara. Orang Banjar dan Dayak Meratus mempunyai hubungan pertalian darah. Orang Banjar merupakan keturunan Dayak yang telah memeluk Islam kemudian mengamalkan budaya Jawa, Melayu, Bugis dan Cina. Ada pendapat yang menyatakan bahawa bangsa Banjar telah menapak di Tanah Melayu seawal  lebih dari 1500 tahun  yang lampau. Djoko Pramono menyatakan bahawa suku Banjar berasal dari suku Orang Laut yang menetap di Kalimantan Selatan. Penduduk asal Sumatera dan daerah sekitarnya merupakan suku Banjar yang membangunkan tanah air di kawasan  Tanah Banjar (sekarang merupakan wilayah provinsi Kalimantan Selatan) sekitar seribu tahun yang lalu. Setelah sekian lama bercampur dengan penduduk yang lebih asli yang dikenali sebagai suku Dayak dan migran-migran yang berhijrah telah terbentuk subsuku iaitu Banjar Pahuluan, Banjar Batang Banyu dan Banjar Kuala.


Banjar Pahuluan

PengIslaman orang Banjar berkemungkinan  telah berlaku di sekitar keraton yang dibangunkan di Banjarmasin. PengIslaman secara massal telah berlaku apabila raja Pangeran  Samudera yang kemudian dilantik menjadi Sultan Suriansyah serta warga kerabatnya dan diikuti oleh keluarga elit kota. Suku Dayak Bukit adalah asal usul dengan cikal bakal suku Banjar, iaitu sama-sama berasal dari Sumatera atau sekitarnya, tetapi mereka lebih dahulu menetap. Komplek pemukim cikal bakal suku Banjar Pahuluan yang pertama ini merupakan komplek pemukiman  bubuhan, yang terdiri daripada seorang tokoh yang berwibawa sebagai ketua dan pengikut-pengikutnya. Daerah lembah sungai-sungai yang berhulu di Pergunungan Meratus merupakan permukiman awal masyarakat Banjar Pahuluan. Kumpulannya terdiri daripada campuran orang Melayu-Hindu dan orang Dayak Meratus (unsur Dayak Meratus/Bukit sebagai ciri kelompok)

Banjar Batang Banyu

Banjar Batang Banyu dipercayai mula terbentuk di hulu sungai Negara atau cabangnya iaitu sungai Tabalong. Di tebing sungai ini merupakan tempat tinggal asal orang suku Dayak Maanyan dan Lawangan sehingga membentuk subsuku Batang Banyu  dan bergabung dengan  orang asal Pahuluan yang berpindah ke sana dan pendatang yang datang dari luar seperti orang Melayu-Hindu/Buddha, orang Keling-Gujarat, orang Dayak Maanyan, orang Dayak Lawangan, orang Dayak Bukit dan orang Jawa-Hindu Majapahit (unsur Dayak Maanyan sebagai ciri kelompok)

Banjar Kuala

Akibat daripada perpindahan pusat kerajaan Banjarmasin, sebahagian warga Batang Banyu berpindah ke pusat kekuasaan yang baru bersama-sama dengan penduduk sekitar keraton yang sedia ada untuk membentuk subsuku Banjar. Mereka telah berjumpa dengan suku Dayak  Ngaju dan akhirnya mereka menamakan diri mereka sebagai orang Banjar, sedangkan masyarakat Pahuluan dan Batang Banyu yang menyatakan mereka sebagai orang asal Banjar.
            Berbeza dengan pendapat Alfani Daud, beliau menyatakan inti suku Banjar adalah para pendatang Melayu dari Sumatera dan sekitarnya. Idwar Saleh pula  menyatakan penduduk asli suku Dayak asalnya adalah dari suku banjar yang kemudian bercampur membentuk kesatuan politik sebagaimana bangsa Indonesia. Kumpulan ini terdiri daripada campuran orang Kuin, orang Batang Banyu, orang Dayak Ngaju (Berangas Bakumpai), orang Kampung Melayu, orang Kampung Bugis Makassar, orang Kampung Jawa, orang Kampung Arab, sebahagian orang Cina Parit yang memeluk Islam (unsur Dayak ngaju sebagai ciri kelompok).


Latar Belakang Bangsa Banjar

Masyarakat Banjar adalah kelompok sosial heterogen yang bergabung dari berbagai sukubangsa dan ras yang selama ratusan tahun sehingga membentuk identiti suku Banjar. Kelompok sosial heterogen terbentuk melalui proses yang tidak sepenuhnya (priomordial), tetapi juga dipengaruhi oleh faktor-faktor lain yang cukup kompleks. Agama Islam merupakan  identiti mereka sejak berabad-abad lamanya, dengan ini membezakan mereka dengan kelompok-kelompok Dayak yang ada di sekitarnya. Memeluk Islam merupakan kebanggaan tersendiri sehinggakan masyarakat Dayak sanggup berpindah agama sebagai “babarasih” (membersihkan diri)) untuk menjadi orang Banjar. Tim Haeda, (2009:3) memberi istilah Islam Banjar kepada sebuah latar belakang sejarah berdasarkan  dari fenomena, kebudayaan dan  Islam di Tanah Banjar, yang secara berkesinambungan tetap hidup bersama masyarakat Banjar itu sendiri. Keistimewaan yang ada pada agama Islam  merupakan perkara penting dalam proses pembentukan sejarah di Tanah Banjar.
 Menurut Alfani Daud (1997), keistimewaannya itu adalah terdapatnya kombinasi  pada aras kepercayaan antara kepercayaan Islam, kepercayaan bubuhan dan kepercayaan lingkungan. Kombinasi itulah yang membentuk sistem kepercayaan Islam Banjar. Menurut Tim Haeda (2009), di antara ketiga sub kepercayaan itu, yang paling tua dan lebih asli dalam konteks Banjar adalah kepercayaan lingkungan, kerana unsur-unsurnya lebih merujuk pada pola agama pribumi pra-Hindu. Oleh kerana itu, ia dibandingkan dengan kepercayaan bubuhan, kepercayaan lingkungan ini lebih fleksible dan terbuka bagi diselaraskan ketika dihubungkan dengan kepercayaan Islam. Sejarah Islam Banjar berkembang seiring dengan sejarah pembentukan suku Banjar itu sendiri.  Suku Bangsa Banjar terbentuk daripada pertemuan pelbagai kelompok etnik yang memiliki asal usul yang beragam.

Asal Usul Orang Banjar Datang Ke Tanah Melayu

            Kalimantan, Indonesia iaitu di Selatan Basin Barito teutamanya daerah Banjar Masin merupakan tempat asal orang Banjar. Ianya terletak di bahagian Tenggara Borneo, daerah  utamanya adalah Balangan, Amuntai, Alai, Hamandit, Margasari dan Martapura. Sebahagian daripada mereka juga ada yang berasal dari Sumatera Tengah di kawasan Bukit Tinggi. Orang Banjar berhijrah ke Tanah Melayu untuk menjadi petani yang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam penanaman padi. Mereka juga mempunyai kemahiran yang khusus seperti melukis, tukang permata, dan berniaga. Berdasarkan daripada pekerjaan ini yang membezakan mereka dari suku Dayak yang lain dan mereka juga mahir dalam membuat peralatan besi seperti senjata dan perlatan pertanian.
            Menurut pengkaji orang Banjar iaitu Afred Bacon Hudson migrasi orang banjar bermula dalam pertengahan abad ke 19. Tarikh sebenarnya  tidak dapat dipastikan bila tarikh terawal orang Banjar dari Kalimantan Selatan bermigrasi ke Tanah Melayu. Menurut Tajuddin Noor Ganie (2004) pada tahun 1780 dan 1862 telah berlaku migrasi secara besar-besaran orang Banjar ke Pulau Sumatera. Migran pada tahun 1780 merupakan pendukung Pangeran Amir yang menderita akibat kekalahan dalam perang saudara. Kerajaan Banjar pada ketika itu diperintah olrh Raja Usurpatur  Pangeran Tahmidullah. Mereka terpaksa melarikan diri dari wilayah kerajaan Banjar sebagai musuh politik sebelum mereka dijatuhi hukuman mati.
Migran pada tahun 1862 pula merupa pendukung Pangeran Antasari dalam kemelut perang Banjar. Mereka terpaksa melarikan diri dari pusat pemerintahan Banjar di kota Martapura kerana pasukan Residen Belanda sudah berjaya menguasai kota-kota besar di wilayah kerajaan Banjar. Pangeran Antasari sendiri memindahkan pusat pemerintahannya ke Muara Teweh, Kalimantan Tengah. Terdapat beberapa  bukti yang menunjukkan  bahawa sebahagian besar orang Banjar  bermigrasi  ke Pulau Sumatera, kemudiannya mereka bermigrasi ke Tanah Melayu tetapi tarikhnya tidak diketahui. Terdapat beberapa maklumat yang boleh dipercayai bahawa di antara tahu 1870-an sudah ada orang Banjar yang sampai ke Tanah Melayu (Ghazali Basri 1974/75:9). Bertepatan dengan pendapat Ganie (2004) bahawa kedatangan orang Banjar pada ketika itu didorong oleh pergolakan politik yang berlaku. Menurut Ghazali Basri (1974/75:9) sebagai reaksi kepada penaklukan Belanda, golongan pembesar terutama golongan Pangeran dan Gusti yang melarikan diri ke dalam hutan merancang untuk membalas dendam terhadap Belanda.  Mereka yang mahu bekerjasama dengan Belanda dilantik menjadi pegawai atau pembesar, manakala yang menentang akan diburu oleh Belanda. Akibat daripada terus diburu orang Belanda mereka terus melarikan diri. Petempatan awal mereka bernama Tongal di Pantai Timur Pulau Sumatera. Kemudiannya mereka meneruskan perlarian mereka menyeberangi Selat Melaka lalu membuat penempatan di Semenanjung Malaysia.
Salah seorang pembesar Banjar yang terawal sampai ke Tanah Melayu ialah Gusti Anang. Beliau tiba di Tanah Melayu sekitar tahun 1880-an dan menetap di Batu Pahat, Johor. Kemudian beliau berpindah dan menentap di daerah Kerian, Perak sehinggalah beliau meninggal dunia pada awal tahun 1973.  Sementara Tunku Shamsul Bahrin (1964:47-49) menyatakan peluang ekonomi yang terdapat di Tanah Melayu, khasnya peluang memiliki tanah yang telah disediakan dengan sistem pengairan, sebagai satu faktor yang ‘menarik’ orang-orang Indonesia, khasnya orang Banjar untuk datang ke Tanah Melayu. Memandangkan sikap orang Banjar yang rajin berusaha, mereka sering berulang alik berniaga kelapa kering melaui Siak, Bentan, Inderagiri terus ke Batu Pahat dan singapura. Bagan Datoh juga merupakan penapakan awal orang Banjar di Tanah Melayu. Mereka juga terbahagi kepada beberapa puak dan sering menidentifikasikan diri mereka mengikut daerah asal usul mereka di Tanah Banjar.

Ciri-Ciri Awal Orang Banjar
    
Terdapat ciri-ciri yang dominan dan ketara pada masyarakat ini yang membezakan mereka dengan masyarakat Melayu tempatan pada masa itu. Antara ciri-cir awal yang dapat dilihat adalah fahaman kesukuan, teguh pegangan agamanya,  cara hidup sederhana, berani dan panas baran.

i)             Fahaman kesukuan

Mereka begitu menjaga suku bangsa mereka kerana  selain dari suku mereka akan dianggap ‘orang luar’, faktor ini menjadikan mereka sebuah masyarakat yang tertutup akibat daripada pergaulan dalam kelompok mereka sahaja. Jarang sekali berlaku perkahwinan di luar suku Banjar. Justeru itu faktor inilah yang menyebabkan pengekalan ciri-ciri masyarakat ini contohnya dari segi pertuturan dialek Banjar yang digunakan hari-hari untuk berkomunikasi dan tempat tinggal yang berkelompok.

ii)            Teguh Pegangan Agama dan cara hidup sederhana

Orang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi amat dihormati, ini menjadikan orang Banjar condong ke arah  keagamaan dan menjadi amalan kehidupan seharian mereka. Dalam sistem pendidikan mereka lebih suka menghantar anak-anak mereka mendalami ilmu Al-Quran dan hal ehwal syariat Islam di madrasah dan sekolah agama. Jika berkemampuan mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah pondok dan ke Tanah suci Mekah untuk mendalami agama Islam.  Mengamalkan cara hidup yang sederhana dengan mempunyai peralatan khusus sahaja seperti tikar mengkuang dan kelengkapan dapur sahaja tanpa perabut. 

iii)           Berani dan Panas Baran

Orang Banjar mempunyai sifat yang berani , pantang dicabar kerana mereka mempunyai sifat  panas baran. Dipercayai di setiap rumah mereka pasti ada menyimpan sebilah parang panjang demi menjaga keselamatan diri mereka. Sifat ini telah ada sejak turun temurun lagi kerana mereka sentiasa bersiap sedia dan berhati-hati memandangkan Tanah banjar di kelilingi hutan belukar yang mempunyai binatang buas. Di laut pula mereka sering diserang oleh lanun  dan perompak menjadikan mereka sentiasa berhadapan dengan cabaran dan halangan sepanjang kehidupan mereka. Masalah ini menjadikan mereka suka menuntut ilmu persilatan daripada pendekar-pendekar tempatan mahupun luar. Ciri-ciri ini jugalah yang menjadi penyebab kepada pergaduhan yang timbul di kawasan pertempatan orang Banjar seperti di Sungai Manik, Teluk Intan, Perak pada tahun 1940an dan 1960an mahupun di Batu Pahat, Johor pada 13 Mei 1969, atas gabungan sifat mereka yang kuat berpegang kepada agama dan berani serta mempunyai sikap panas baran.
Orang Banjar Kini

Masyarakat Banjar hari ini sama seperti masyarakat penghijrahan yang lain telah mengalami arus perubahan yang pesat seiring dengan kepesatan pembangunan pada masa kini. Proses asimilasi yang berlaku menunjukkan bahawa mereka tidak hanya tinggal dengan kelompok mereka sahaja dan perkahwinan campur telah menjadi kebiasaan. Program pendidikan di negara ini sedikit sebanyak telah mengasimilasikan masyarakat ini ke dalam masyarakat Melayun tempatan. Generasi mereka pada hari ini semakin kurang mahupun sudah tidak tahu  atau malu bertutur dalam bahsa Banjar walaupun ketika berbicara sesama mereka.
            Sifat mereka yang rajin berkerja dan merantau ke tempat orang telah terbukti dengan pembukaan tanah-tanah rancangan sama ada FELDA mahupun FELCRA.  Mereka menyambut baik rancangan yang diperkenalkan dan merebut peluang yang ada menyertai program tersebut. Pada hari ini orang Banjar ramai terdapat di tanah-tanah rancangan contohnya di negeri  Pahang.
            Perpaduan yang erat di kawasan penempatan majoritinya orang Banjar dan mereka masih memelihara dan menggunakan  bahasa Banjar dalam pertuturan harian mereka. Pandangan serong terhadap orang luar semakin berkurangan dan mungkin sudah tiada lagi.  Dalam bidang pendidikan orang Banjar telah menghantar anak-anak mereka hingga ke menara gading dan menceburi segala bidang pekerja dari sektor awam dan juga swasta. Walau bagaimanapun pendidikan agama masih menjadi pilihan utama, ramai yang mempunyai kelulusan tinggi di bidang agama datangnya dari orang Banjar. Telah terbukti bahawa anak-anak orang Banjar yang banyak memegang jawatan yang tinggi di bidang keagamaan terutama dari daerah Kerian, Perak dan daerah Sabak Bernam di selangor.

Ciri-Ciri Unik Budaya Orang Banjar

Terdapat beberapa ciri kebudayaan yang unik tentang bangsa Banjar yang membezakan mereka dengan bangsa migrasi yang lain. Keunikan ciri budaya yang ada terdapat pada bentuk rumah, makanan, muzik, teater, tradisi lisannya, tarian dan senjatanya. Di bawah ini akan dihuraikan ciri-ciri budaya orang banjar seperti:-

i)             Rumah dan makanan

Dari segi rekabentuk rumah orang banjar mempunyai ciri-ciri bumbung yang agak berbeza bagi melambangkan rumah tradisional orang Banjar. Antaranya mempunyai penekanan kepada atap, ornamental, hiasan dan simetrinya. Rumah tradisional Banjar mempunyai seni ukiran yang tersendiri yang mula berkembang sebelum tahun1871 sampai tahun 1935. Bubungan Tinggi merupakan jenis rumah yang paling dikenali dan menjadi identiti kepada rumah adat suku Banjar. Sate Banjar, puteri salad, dan lain-lain lagi merupakan makanan orang Banjar dan tidak dilupakan wadik yang merupakan menu utama pembuka selera. Wadik merupakan proses penjerukan ikan sepat, puyu atau ikan-ikan sesuai yang lain dengan garam dan asam keping. Ikan ini dapat disimpan berbulan lamanya.

ii)            Teater

Mamanda adalah seni teater tradisional atau pementasan tradisional yang berasal dari Kalimantan selatan. Mamanda adalah pementasan yang mengisahkan sebuah kerajaan yang mempunyai raja, pemaisuri, pembesar-pembesar negeri, panglima, khadam dan rakyat jelata. Di dalam setiap pementasan teater watak-watak ini wajib perlu ada.

iii)           Muzik

Muzik Panting merupakan muzik tradisional khas suku Banjar. Ianya dikenali sebagai panting adalah kerana didominasi oleh alat muzik yang dinamakan panting iaitu sejenis gabus. Ianya merupakan alat yang dimainkan secara petikan yang berbentuk seperti gabus arab tetapi ukurannya lebih kecil sedikit. Pada waktu dahulu ianya dimainkan secara solo tetapi berdasarkan kepada perkembangan zaman ianya lebih menarik apabila digabungkan dengan alat muzik yang lain seperti babun, gong, dan biola dan dimainkan secara kumpulan.


iv)           Tradisi Lisan

Tradisi lisan suku Banjar banyak dipengaruhi oleh budaya Melayu, Arab dan Cina.Ianya berkembang sekitar abad ke-18, di antaranya adalah Madihin dan Lamut. Madihin berasal dari bahasa Arab yang bermaksud madah yang bererti pujian.Madihin merupakan puisi rakyat  yang dilisankan dan ditulis dalam bahasa Banjar dengan bentuk fizikal dan mental sesuai dengan khazanah Banjar di Kalimantan Selatan. Manakala Lamut adalah sebuah cerita tentang keagamaan, sosial, budaya Banjar. Lamut berasal dari negeri Cina, pada mulanya menggunakan bahasa Tionghoa. Namun setelah di bawa ke Tanah Melayu oleh pedagang Cina, maka bahasanya diterjemahkan ke dalam bahasa banjar.

v)            Tarian

Tariannya terbahagi kepada dua seni tari iaitu dikembangkan di lingkungan istana (kraton) dan seni tari yang di kembangkan oleh rakyat.  Seni tari kraton dikenali sebagai ‘Baksa”  yang berasal dari bahasa Jawa (beksan) yang menggambarkan kehalusan seni tarinya. Tari-tari ini telah wujud ratusan tahun yang lalu, semenjak zaman hindu lagi. Namun gerakan dan busananya telah disesuaikan dengan keadaan pada masa kini.

vi)           Senjata Tradisional

Senjata tradisional yang sering diguna pakai oleh orang Banjar adalah seperti serampang yang dipercayai dapat memusnahkan ilmu kebal sekuat manapun. Tiruk merupakan tombak panjang lurus yang digunakan untuk berburu ikan haruan dan toman di sungai. Pangambangan adalah tombak lurus bermata satu dengan bait kedua sisinya. Duha merupakan pisau bermata dua yang sering digunakan untuk berburu babi.                                                                                       


Bahasa Suku Bangsa Banjar

Bahasa Banjar adalah sebuah bahasa Austronesia yang dipertuturkan oleh suku Banjar di Kalimantan Selatan Indonesia sebagai bahasa ibunda. Bahasa Banjar mendominasi bahasa yang terdapat di Indonesia dan merupakan cabang bahasa yang berkembang dari Bahasa Melayu. Ianya terbahagi kepada beberapa bahasa seperti Banjar Kandangan, Amuntai, Alabiu, Kalua, Alai, dan lain-lain. Bahasa Banjar banyak dipengaruhi oleh Bahasa Melayu, Jawa dan bahasa Dayak. Ianya mempunyai hubungan dengan bahasa Kedayan (Brunei) yang terpisah selama 400 tahun ianya juga disebut Bahasa Melayu Banjar. Ianya masih segar kerana sering dipertuturkan untuk komunikasi seharian di kalangan masyarakat Banjar atau pendatang. Bahasa Banjar masih bertahan dan telah diajar di sekolah-sekolah Kalimantan Selatan sebagai bahasa tempatan, ianya juga mengandungi sejumlah peribahasa yang boleh dipelajari dan diguna pakai.
            Secara geografinya bangsa Banjar telah mendiami hampir seluruh wilayah  Kalimantan Selatan, akibat dari migrasi menyebabkan penyebaran budaya secara melusa sehingga ke persisir Kalimantan Tengah dan Timur. Beberapa pulau Sumatera yang kebetulan menjadi mukim kepada perantau Banjar sejak lama seperti di muara tungkal, Tembilahan, dan Sapat. Den Hamer melokasikan bahasa Banjar, kepada daerah Banjarmasin dan Hulu Sungai. Apabila seseorang itu fasih berbahasa Banjar dalam kehidupannya seharian, ianya akan tetap dianggap orang Banjar walaupun bukan dilahirkan di tanah Banjar dan bukan berdarah Banjar. Bahasa merupakan salah satu faktor penting bagi  menunjukkan seseorang itu berbangsa Banjar dan faktor lain seperti adat istiadat dan lain-lain.
            Bahasa Banjar diidentifikasikan mempunyai varias-variasi dalam pengucapan ataupun perbezaan kosa kata antara satu kelompok dengan kelompok suku banjar yang lain. Perbezaan ini disebut sebagai dialek, ianya dibezakan kepada dua dialek besar iaitu bahasa Banjar Hulu Sungai atau dikenali bahasa Banjar Hulu dan Bahasa Banjar Kuala. Dialek Banjar Hulu dituturkan di daerah Kabupaten Tapin, Hulu Sungai Selatan. Manakala dialek Banjar Kuala dituturkan oleh penduduk sekitar kota Banjarmasin, Martapura, dan Pelaihari.




RUMPUN BAHASA MELAYU

Bahasa Melayu tergolong dalam keluarga Nusantara di bawah rumpun Bahasa Austronesia. Berasal dari filus Austris yang terpecah kepada tiga rumpun bahasa yang besar seperti rumpun Austroasia, Austronesia (dulu dikenali sebagai Malayo-Polinesia)  dan rumpunTibet-China. Rumpun Austonesia dipecahkan kepada empat keluarga iaitu Indonesia (Nusantara), Melanesia, Mikronesia dan Polinesia. Dalam keluarga bahasa Nusantara terdapat kira-kira 200 hingga 300 bahasa. Namun begitu, bahasa-bahasa tersebut dikelaskan kepada golongan tertentu seperti Filipina, Sumatera, Jawa Kalimantan, Bali-Sasak, Muna Buntung, gorontalo, Tomini, Loinang, Bunku-Laki, Sulawesi Selatan, Bima Sumba, Ambom Timbul, Sula Bacon, dan Halmahera Selatan-Irian Jaya. Bahasa Melayu tergolong ke dalam kumpulan bahasa Sumatera.
Beberapa teori telah menyatakan penutur bahasa Melayu berasal daripada golongan manusia yang diberi nama Austroneria. Mereka datang dari Yunan dalam dua gelombang pergerakan ke wilayah Asia Tenggara. Gelombang pertama  dikenali sebagai Melayu Proto yang datan sejak tahun 2,500 sebelum Masihi. Petempatan mereka adalah di kuala-kuala sungai dan pantai untuk memudahkan mereka mendapat sumber makanan. Gelombang kedua disebut Melayu Deutro yang datang kira-kira dalam tahun 1,500 sebelum Masihi. Mereka berpindah mengikut laluan Melayu Proto. Apabila sampai di selatan mereka mendesak Melayu Proto ke daerah pinggiran, ke hulu sungai, ke kawasan gunung atau ke tempat-tempat yang terpencil. Manakala  mereka tinggal di kawasan tanah pamah, tanah rendah, lembah sungai dan tepi laut.
Menurut pengkaji Barat H.Kern menyatakan bahawa penduduk di kepulauan Asia Tenggara berasal dari Assam, di bahagian timur negara India. Beliau membuat kesimpulan demikian berdasarkan persamaan –persamaan adat resam beberapa suku di Sumatera dan Borneo dengan suku-suku di Assam seperti suku Naga di India. Henry Yule pula berpendapat seperti J.R. Logan iaitu tentang wujudnya persamaan adat resam antara penduduk daratan Asia Tenggara dengan yang terdapat di Kepulauan Melayu. Persamaan-persamaan ini menunjukkan bahawa mereka adalah daripada keturunan yang sama.
            Mees seorang lagi sarjana yang membuat kajian perbandingan bahasa. Beliau membuat kajian bertitik tolak daripada pembahagian oleh Schmidt dengan sedikit perubahan dan data yang lebih terperinci. Menurut Mess lagi, bahasa dan dialek di Tanah Melayu tidak dapat tidak, mempunyai hubungan dengan bahasa yang digunakan di pantai Timur Sumatera iaitu Bahasa Melayu. Malah daerah bahasa Melayu di luar Tanah Melayu merangkumi kepulauan kepulauan Riau, Palembang, Kampar, Jambi, dan Medan. Bahasa Melayu Sriwijaya memperlihatkan sisa-sisa tua daripada salah satu bahasa Austronesia berdasarkan buktii yang terdapat pada batu bersurat Talang Tuwo bertarikh 680 Masihi. Di bahagian utara pula, terdapat kelompok bahasa Aceh, bahasa Batak seperti Karo, Simalungan dan Angkola-Mandiling, Nias, Mentawai, Minangkabau dan Lampung.
            Osman Omar (1961:3) menyatakan bahawa percabangan Bahasa Indonesia begitu tersebar luas kerana dikembangkan oleh suku bangsa yang seketurunan dengan bangsa Melayu dan penyebaran ini terjadi disebabkan sifat semula jadi bangsa Melayu itu sendiri. Sebagai ahli pelayaran dan perantay masyhur, ciri-ciri pelaut dan perantau bangsa Melayu ini mengakibatkan  berlakunya dua pertembungan penting pada induk bahasa Indonesia menjadi berbagai-bagai bahasa lain.
            Menurut Asmah (1985) kawasan penyebaran bahasa-bahasa Indonesia dianggap sebagai pusat keseluruhan kawasan Autronesia atas beberapa sebab. Antara lain, keluarga bahasa ini melebihi mana-mana keluarga bahasa dari segi bentuk-bentuk bahasanya. Malah daripada keluarga bahasa inilah terdapatnya Bahasa Melayu, iaitu bahasa yang pesat berkembang  sehingga dijadikan bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia, Indonesia dan Brunei Darul salam. Malah kerajaan yang memerintah alam  nusantara semuanya terdapat di kawasan Indonesia, misalnya Kerajaan Srivijaya-Melaka dan kerajaan Melayu –Johor.                   

 Hubungan Suku Banjar Dengan rumpun Bahasa Melayu

Berdasar daripada hasil kajian tentang bangsa suku Banjar dan Rumpun Bahasa Melayu terdapat beberapa persamaan yang menghubungkan mereka. Antara perhubungan mereka yang boleh dikaitkan adalah seperti  asal-usulnya adalah dari Kalimantan. Ianya tergolong dalam keluarga Nusantara iaitu Kepulauan Melayu.  Bahasa Melayu dan Bahasa Banjar termasuk dalam bahasa-bahasa Melayu Polinesia di bawah rumpun bahasa Austronesia. Bahasa Banjar merupakan cabang bahasa yang berkembang dari Bahasa Melayu dan pengaruh dari bahasa-bahasa yang terdapat di dalam rumpun bahasa Melayu itu sendiri . Bahasa ini berkembang seiring dengan perkembangan suku bangsa Banjar yang terdapat hampir di seluruh pelusuk dunia. Gabungan pelbagai kelompok suku, etnik dan masyarakat  sehinggalah terbentuk satu suku Bangsa Banjar yang mempunyai identiti yang tersendiri dan sehingga kini ianya masih terpelihara. Penempatannya banyak bermula di hulu dan persisiran pantai dan dipengaruhi dengan pelbagai kebudayaan sehinggalah mempunyai identiti yang tersendiri.      
Rumusan

Kajian suku bangsa Banjar yang dihasilkan ini banyak membantu saya memberi pendedahan tentang asal usul sesuatu suku bangsa itu terbentuk. Pembentukan sesuatu bangsa berlaku bergantung kepada beberapa faktor seperti faktor politik, ekonomi dan sebagainya yang mendorong berlakunya migrasi secara besar-besaran sehinggalah terbentuk satu suku bangsa yang beridentiti sendiri. Pembentukan sesebuah suku bangsa mempunyai hubungkait dengan suku bangsa lain yang mempunyai identiti mereka tersendiri seperti pegangan agama, bahasa, kebudayaan dan sebagainya bergabung sehingga menjadi hanya satu suku bangsa yang dapat diterima oleh semua pihak dan menjadi ikutan dan pegangan. Suku bangsa yang hebat yang mendominasi suku kaum dalam kelompok kumpulan tersebut akan menjadi ikutan suku bangsa kelompok tersebut. Berdasarkan daripada rentetan pembentukan sesebuah suku bangsa pembentukan rumpun bahasa Melayu juga mempunyai  hubungan yang sama dimana rumpun Bahasa Melayu adalah terdiri daripada bahasa-bahasa Melayu Polinesia yang berada di bawah rumpun yang sama dengan bahasa Banjar iaitu rumpun bahasa Austronesia. Suku bangsa Banjar mempunyai ciri-ciri mereka yang tesendiri seperti  fahaman kesukuan yang kuat, teguh pegangan agamanya,  cara hidup sederhana, berani dan panas baran. Mereka juga mempunyai ciri kebudayaan yang unik dari segi bentuk rumah, makanan, muzik, teater, tradisi lisannya, tarian dan senjatanya. Setiap pembentukan suku bangsa yang terdapat di dunia ini mempunyai sejarahnya dan ciri-ciri mereka yang tersendiri. Menurut Asmah Haji Omar (1988), bahasa mempunyai perkaitan kekeluargaan di antara semua bahasa-bahasa yang terdapat di dunia. Perkaitan kekeluargaan tersebut boleh dianologikan kepada perkaitan antara kekeluargaan manusia. Demikian dalam bahasa juga ada perkaitan yang dekat dan yang jauh. Jika sesebuah bahasa tersebut mempunyai banyak ciri-ciri yang sama antara mereka akan menganggotai kelompok yang lain yang mempunyai anggotanya sendiri. Walau bagaimanapun, antara kedua-dua kelompok itu masih mempunyai perkaitan.  






Bibliografi

Abdul Rashid Melebek & Amat Juhari Moain. (2006). Sejarah Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Malaysia Publishing & Distributors.

Adelaar.K.A. 1988. More On Proto-Malayic. Dlm: Mohd Thani Ahmad & Zaini Mohammed Zain (peny). Rekonstruksi & Cabang-cabang Bahasa Melayu Induk. Pp59-77. Seri Monograf Sejarah Bahasa Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.   

Asmah Hj. Omar, 1985. Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bellwood P.1985. Prehistory of the Indo-Malaysia Archipelago. Ydney: Hardcourt Brace Javonovich.

Bellwood P. 1992 The Prehistory of Borneo. Borneo reserch Bulletin 24:7-15

Bloomfield, 1. 1992 Bahasa Terjemahan Alias mahpol, Kamaruzaman Mahayiddin dan Noor Ein Mohd Noor. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Blust, R.A. 1988 C. Malay historical Linguistics : a progress report. Dlm. Mohd Thani & Zaini Mohamed Zain (pnyt). Rekonstruksi & Cabang-cabang Bahasa Melayu induk: 1-33. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Collins, J.T. 1995, Pulau Borneo Sebagai Titik Tolak Pengkajian Sejarah Bahasa Melayu. Jurnal Dewan Bahasa 39:868-879.

Dr. R. Soekmono. (1992). Pengantar Sejarah Kebudayaan Indonesia I dan II: Yogyakarta:Kanisus  

Ensiklopedia Bahasa Utama Dunia. (1998). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka

Wan Hahim Wan Teh. 1995. Teori Migrasi & Asal Usul Ras Melayu pemikir 1 : 28-41

No comments:

Post a Comment